Dewan Ulamak PAS Pusat

Parti Islam Se-Malaysia PAS

  • Full Screen
  • Wide Screen
  • Narrow Screen
  • Increase font size
  • Default font size
  • Decrease font size

Jangan polemikkan Isu Perlantikan Perdana Menteri.

E-mail Cetak PDF

Oleh:
Ustazah Izzah Masturah Binti Eshmaeel
Ahli Jawatankuasa Ulamak Pelapis PAS (Pusat)

Muktamar PAS yang selesai melabuhkan tirainya telah mencetuskan satu isu baru apabila ditegaskan bahawa calon yang terbaik untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia akan datang adalah Tuan Guru Presiden PAS sendiri. Pelbagai respon telah timbul sama ada menyokong cadangan ini atau sebaliknya. Kritikan terhadap pandangan yang dilontarkan tersebut adalah satu perkara biasa yang pasti akan berlaku dalam membincangkan mana-mana pandangan yang timbul apatah lagi sekiranya isu yang terbabit adalah isu siapakah Perdana Menteri Malaysia akan datang sekiranya Allah memberikan keizinan kepada Pakatan Rakyat untuk memenangi pilihan raya terdekat.

Ada tiga kritikan paling utama yang dimainkan oleh media UMNO dan media PAS sendiri dalam membidas cadangan tersebut iaitu:

  • Pakatan Rakyat telah bersetuju untuk melantik YAB Dato Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri,
  • Perdana Menteri akan datang akan diambil daripada parti yang memenangi majoriti tertinggi keputusan pilihan raya dan
  • Dewan Ulamak tidak menyentuh isu-isu besar sebaliknya menimbulkan isu yang tidak menguntungkan Pakatan Rakyat.

Berhubung dengan kritikan bahawa Dewan Ulamak telah menongkah arus kerana Pakatan Rakyat sebenarnya telah bersetuju untuk melantik Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia akan datang, masyarakat diajak untuk menilai sejauh manakah kebenaran dakwaan wujudnya persepakatan di kalangan Pakatan Rakyat bahawa Dato' Seri Anwar Ibrahimlah Perdana Menteri Malaysia akan datang. Berdasarkan maklumat yang diperolehi, sebenarnya belum ada satu ketetapan rasmi yang diambil oleh Pakatan Rakyat berhubung isu ini. Ini bermakna kenyataan bahawa Dato' Seri Anwar Ibrahim adalah Perdana Menteri akan datang yang digembar-gemburkan selama ini hanyalah pandangan peribadi yang dilantunkan oleh DAP, KEADILAN dan turut juga disambut oleh beberapa pimpinan PAS. Akhirnya pandangan yang pada asalnya bersifat peribadi dan bukannya hasil keputusan rasmi Pakatan Rakyat telah berubah menjadi seakan-akan satu pegangan muktamad bagi Pakatan Rakyat sehingga masyarakat Malaysia secara umum turut terkeliru dan turut berkeyakinan bahawa isu Dato' Seri Anwar Ibrahim akan menjadi Perdana Menteri adalah hasil kesepakatan seluruh kepimpinan tertinggi Pakatan Rakyat.

Sebenarnya pandangan untuk melantik Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri masih boleh untuk dipertimbangkan. Namun untuk memuktamadkan pandangan ini sebagai satu-satunya pandangan yang mesti dipegang tanpa melalui perbincangan meja bulat adalah satu usaha yang tidak wajar kerana ini akan menatijahkan satu kesilapan fakta dan akan menutup ruang perbincangan terhadap isu siapakah Perdana Menteri akan datang. Oleh itu, tidak pelik disuarakan pendirian bahawa individu yang paling layak untuk menjadi Perdana Menteri akan datang sekiranya Allah memberikan keizinan adalah Dato' Seri Tuan Guru Presiden PAS sendiri.

Walaupun begitu, ini bukanlah bermakna kita memandang rendah kelayakan Dato Seri Anwar Ibrahim sebagai salah seorang calon Perdana Menteri akan datang. Isu perbincangannya adalah antara dua orang calon yang layak untuk menjadi Perdana Menteri akan datang iaitu Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim, siapakah di kalangan mereka berdua yang paling layak untuk menjawat jawatan tersebut.

Pihak media Pakatan Rakyat khususnya Harakah juga memaparkan bahawa isu siapakah Perdana Menteri akan datang sebenarnya tidak sepatutnya timbul kerana Perdana Menteri hanya akan dipilih daripada parti yang mempunyai majoriti kemenangan dalam pilihan raya. Hujah yang dikemukakan ini adalah bersifat tidak adil apabila ia hanya untuk membidas cadangan tersebut dan tidak pula digunakan untuk menyanggah kenyataan yang dikeluarkan oleh pimpinan KEADILAN, DAP dan segelintir pimpinan PAS selama ini yang terang-terangan menyatakan kepada rakyat bahawa Perdana Menteri Malaysia akan datang adalah Dato Seri Anwar Ibrahim.

Selain itu, pandangan bahawa Perdana Menteri hanya akan dipilih oleh parti yang akan memenangi majoriti kerusi dalam pilihanraya akan datang juga tidak boleh dijadikan sebagai ukuran bagi Pakatan Rakyat. Ini kerana pertandingan akan datang adalah perlawanan antara Barisan Nasianal dengan Pakatan Rakyat. Para pengundi yang akan memberikan undi kepada Pakatan Rakyat akan memangkah calon PAS, DAP dan KEADILAN kerana PAS, DAP dan KEADILAN adalah rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat. Setiap pengundi akan berusaha keras untuk memenangkan calon yang diputuskan oleh Pakatan Rakyat sekalipun parti yang didokongi oleh pengundi berbeza dengan parti yang disertai oleh calon yang diundi. Sekiranya Perdana Menteri akan dipilih daripada parti yang paling tinggi kemenangannya dalam pilihan raya, maka ini adalah satu tindakan yang tidak tepat kerana ada calon yang memangkah parti tertentu sebenarnya bukanlah ahli parti itu.

Antara kritikan lain yang turut dipaparkan di media ialah Dewan Ulamak PAS Pusat sepatutnya lebih menumpukan isu-isu yang lebih menguntungkan Pakatan Rakyat dalam usaha ke Putrajaya bukannya menumpukan isu-isu remeh seperti siapakah Perdana Menteri Malaysia akan datang. Perlu dijelaskan bahawa isu siapakah pemimpin tertinggi bagi satu negara bukanlah satu perkara remeh bahkan ini merupakan antara isu paling penting dalam politik. Kita dipaparkan oleh sejarah Islam bagaimana para sahabat Rasulullah s.a.w. yang begitu menyayangi baginda telah bergegas meninggalkan jenazah baginda lalu terus menuju ke Saqifah Bani Saidah bagi membincangkan siapakah yang akan menjadi Khalifah umat Islam selepas kewafatan baginda. Akhirnya sebahagian para sahabat yang menguruskan jenazah baginda manakala sebahagian sahabat yang lain pula berada di pentas perbincangan siapakah Khalifah. Sekiranya isu siapakah pemimpin tertinggi negara adalah satu isu kecil, selayaknya para sahabat seperti Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar hendaklah menguruskan terlebih dahulu jenazah Rasulullah yang mulia seterusnya barulah membincangkan isu siapakah Khalifah setelah baginda selesai dimakamkan.

Tidak dapat dinafikan bahawa pendirian berani yang diutarakan untuk mencalonkan Presiden sebagai Perdana Menteri mempunyai peratus yang besar untuk menjadi bahan jajaan media pro UMNO untuk memperlihatkan kononnya kesatuan Pakatan Rakyat sudah mula goyah. Itu merupakan perkara biasa yang akan sentiasa dimainkan oleh pihak-pihak media yang terbabit. Walau bagaimanapun kalaulah hanya kerana takutkan pandangan yang dilontarkan di dalam muktamar akan dimanipulasi oleh UMNO menyebabkan kita langsung tidak berani menyatakan pandangan kita, maka semestinya segala isu-isu pedas dan panas yang ditimbulkan oleh para perwakilan berupa kritikan membina kepada PAS tidak wajar sama sekali untuk diutarakan di dalam muktamar baru-baru ini kerana isu-isu panas tersebut juga sebenarnya sangat berpotensi untuk menjadi pisang goreng UMNO.

Para pendokong  PAS sepatutnya memandang isu yang dilontarkan ini di dalam muktamar baru-baru ini sebagai satu pendirian berani yang dikemukakan untuk berhadapan dengan arus tidak rasmi yang mendokong Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. Pandangan yang berbeza tidak sepatutnya dianggap sebagai tindakan yang merugikan PAS dan Pakatan Rakyat.

Kita memuji tindakan berani beberapa individu besar di dalam KEADILAN dan DAP yang bertegas untuk tetap mencalonkan Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia akan datang. Mereka tetap konsisten dengan pandangan mereka sekalipun penegasan mereka ini juga sebenarnya boleh dijadikan alasan oleh pihak UMNO dalam membuktikan kononnya Pakatan Rakyat sudah mula berantakan. Konsepnya adalah masing-masing mempunyai pendirian dan selagi mana pandangan tersebut tidak dirasmikan lagi sebagai pandangan muktamad seluruh Pakatan Rakyat, maka selagi itulah ia berhak untuk diperdebatkan secara sihat. Namun yang menghairankan adalah di saat rakan-rakan PAS dari KEADILAN dan DAP tetap teguh dengan pendirian mereka, tiba-tiba ahli PAS sendiri pula yang tidak berani untuk menyatakan ketegasan mereka bagi mencalonkan Presiden PAS yang begitu berautoriti dan disegani oleh setiap lapisan masyarakat sebagai Perdana Menteri Malaysia akan datang hanya dengan alasan mahukan perpaduan Pakatan Rakyat terus utuh.

UMNO semestinya akan sentiasa mengintai sebarang isu yang berlaku seputar Pakatan Rakyat untuk dikambinghitamkan oleh mereka. Tugas media PAS khususnya Harakah dan media Pakatan Rakyat yang lain pula adalah memurnikan isu yang cuba dimainkan oleh media UMNO agar polemik yang sengaja dikeruhkan oleh UMNO dapat dijernihkan dengan penonjolan sisi lain yang menguntungkan PAS dan Pakatan Rakyat. Apa yang berlaku tidak demikian. Selepas isu siapakah Perdana Menteri akan datang timbul di muktamar baru-baru ini, beberapa penulis media pro Pakatan Rakyat tanpa sengaja telah melatah apabila mereka telah mengambil tugasan media UMNO dalam mengeruhkan lagi isu yang timbul. Kita memuji tindakan Ketua Pemuda PAS Malaysia dan kartunis Rossem yang pandai mengambil peluang yang menguntungkan Pakatan Rakyat apabila mereka menghidangkan kepada umum bahawa Najib Tun Razak hari ini tidak lagi tersenarai sebagai Perdana Menteri akan datang apabila calon-calon yang diperdebatkan hari ini hanya berlegar pada dua nama saja;  Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Perlu ditegaskan sekali lagi bahawa Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang adalah calon yang paling layak sekali untuk dinaikkan sebagai Perdana Menteri Malaysia akan datang. Ahli PAS hendaklah mempunyai jati diri dan rasa bangga dengan perjuangan PAS dalam menobatkan Islam di Malaysia. Tidak sepatutnya bagi ahli PAS yang lebih mengenali presidennya tidak memberikan sokongan dalam mencalonkan Dato' Seri Tuan Guru Presiden sebagai calon Perdana Menteri Malaysia akan datang.

You are here: