Ka'ab bin Asyraf adalah tokoh Yahudi yang menggunakan kemahirannya bersyair untuk menyakiti dan menghina Rasulullah s.a.w., isteri-isteri dan sahabat-sahabat baginda. Bahkan selepas kemenangan tentera Islam dalam peperangan Badar, beliau telah menggunakan kemahirannya itu untuk memberi semangat kepada musyrikin Mekah memerangi Islam. Beliau menangisi dan meratapi kematian musyrikin Mekah melalui syairnya untuk membakar perasaan permusuhan mereka dengan orang Islam sambil memberitahu bahawa mereka berada di pihak yang benar dan orang Islam berada di pihak yang batil. Allah menurunkan wahyu yang khusus berkaitan dengan perkara ini dalam surah an-Nisa', ayat 51.
Kejahatan yang dilakukan oleh Ka'ab bin Asyraf ini tidak dibiarkan begitu sahaja. Beliau akhirnya diambil tindakan tegas oleh sekumpulan sahabat yang diketuai oleh Muhammad bin Maslamah dengan arahan daripada Rasulullah s.a.w.
Justeru, berdasarkan kepada peristiwa ini, Ulamak Pelapis, Dewan Ulamak PAS Pusat:
1. Mengutuk sekeras-kerasnya penerbitan filem berjudul 'Innocence of Muslims' oleh Sam Bacile yang menghina dan memaparkan penipuan tentang peribadi Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda. Penghinaan ini adalah usaha berterusan yang dipelopori oleh Ka'ab bin Asyraf untuk memerangi Islam.
2. Menggesa agar kerajaan Malaysia dan OIC menghantar nota bantahan terhadap kerajaan Amerika Syarikat atas tindakan rakyatnya yang menerbitkan filem tersebut.
3. mendesak agar kerajaan Amerika Syarikat mengambil tindakan tegas terhadap penerbit filem tersebut kerana tidak menghormati agama dan kepercayaan orang lain.
Pentadbiran Rumah Putih tidak seharusnya hanya menafikan kaitan antara penerbitan filem tersebut dengan kerajaan Amerika Syarikat sebagaimana yang dilakukan oleh Hillary Clinton tetapi perlu bertindak secara proaktif untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab dan menghalang penayangan filem tersebut di seluruh dunia.
4. Menyeru agar semua pihak berganding bahu untuk bersama-sama mempertahankan kesucian Islam daripada dihina dengan sewenang-wenangnya.
Haji Khairul Mutanazar bin Ismail
Pengerusi
Ulamak Pelapis, Dewan Ulamak PAS Pusat.






























