Alor Setar - Bagi seorang pendakwah sejati, tirai besi penjara hanya mampu mengurung jasadnya. Namun jiwa, semangat dan tanggungjawabnya terhadap kelansungan perjuangan meninggikan kalimah Allah dan sunnah Rasulullah tidak pernah padam.
Lantaran itulah, As-syahid Sayyid Qutb tetap jua mengarang walaupun dibalik cengkaman Penjara Mesir. Dari kurungan itulah beliau melahirkan karya haraki yang dijulang iaitu Kitab Tafsir Fi Zilalil Quran.
Dari tirai besi kezaliman pemerintah Malaysia, Kem Kemunting yang mengekang tahanan tanpa bicara di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pula, lahir buku Siyasah Syar'iyyah tulisan Ustaz Md Lotfi Arifin.
Buku yang menyentuh perbahasan mengenai pembentukan Negara Islam Mithali itu adalah buku pertama diterbitkan beliau dari empat judul yang ditulisnya semasa dalam tahanan ISA dari tahun 2001 hingga dibebaskan pada 2006. Karya-karya lain berjudul Hisbah, Bekalan Untuk Pejuang dan Bimbingan Mukmin.
Ustaz Md Lotfi kini adalah Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Negeri Kedah dan Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Ulamak PAS Pusat.
Buku tersebut telah dilancarkan Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato' Seri Diraja Ustaz Azizan Abdul Razak sempena Sambutan Nuzul Al-Quran di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut di sini baru-baru ini.
Buku yang kini dijual dengan harga promosi RM 25 itu boleh didapati dengan menghubungi 013-4881036 atau 013-5185188 bagi penghantaran.
Dipetik dari : Harakah oleh Izwan Abdul Halim





























