KUALA LUMPUR - Tindakan akhbar Umno, Utusan Malaysia melaporkan bahawa DAP akan bertanding di 90 kawasan Parlimen adalah satu usaha untuk menakut-nakutkan pengundi Melayu.
Menurut Senator Datuk Dr Johari Mat yang mewakili Kelantan yang juga merupakan AJK Dewan Ulamak PAS Pusat, isu yang dimainkan itu merupakan isu lama dan ia adalah sebagai usaha sentimen untuk menakutkan rakyat negara ini terutamanya Melayu bahawa negara ini bakal diterajui oleh DAP.
"Ia lebih kepada politik untuk menakut-nakutkan orang Melayu supaya tidak memilih Pakatan Rakyat pada pilihan raya nanti.
"Selain itu juga ia merupakan isu lama yang sentiasa digembar-gemburkan setiap kali tibanya pilihan raya walaupun tiada asasnya tetapi mereka tetap melakukannya," jelasnya.
Sebelum itu, Utusan Malaysia mendakwa DAP bakal menjadi parti paling dominan dalam pakatan pembangkang selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 apabila maklumat mesyuarat pembahagian kuota kerusi pembangkang mendedahkan, parti itu dikatakan akan bertanding 90 kawasan Parlimen.
Dipetik dari Harakahdaily oleh Muhammad Faizal






























